BioSunnah.biz

Suatu Pagi Jumaat DI Pasar Selising

Masuk saja ke zon itu, banyak perkara dan kejadian yang boleh dilihat.Sesuatu yang boleh menjadi kenangan dan boleh membangkitkan nostalgia di kalangan mereka yang telah lama ‘pergi mari’ dalam zon itu. Menjadi memori dan ingin sentiasa di alami bagi mereka yang sekali sekala balik dari rantauan.
Pagi jumaat bukanlah pagi yang ‘menyesakkan’ di sekitar situ, tapi ada aktiviti yang menunjukkan Kedai Selising ada identiti tersendiri dan amat senang untuk dijadikan ‘detik’ yang dirindui. Masuk saja zon tersebut, ada sekelompok manusia istimewa yang mentelaah berita percuma dari gerai akhbar Bidi. Paling istimewa adalah si Bidi sendiri, tauke gerai akhbar yang membenarkan sesiap sahaja membaca akhbar jualannya tanpa rungutan, tidak pernah mendengar rungutannya tentang itu!. Pembaca-pembaca ini dikatakan istimewa kerana terdiri dari beberapa kelompok yang berbeza ideology politik, berbeza minat, berbeza kecenderungan dan berbeza apa yang dicari. Semoga ‘dosa’ mereka yang mencari keputusan toto tidak terpalit kepada Bidi.
Manakala di bawah teduhan wakaf ‘stesyen’ motosikal ada beberapa pemilik motosikal sewa menunggu pelanggan. Satu perkhidmatan yang amat mulia, walau untuk beberapa ringgit sahaja mereka sanggup hantar pelanggan ke mana sahaja. Ada juga kaki lepak, bukan pelanggan bukan pembaca ‘free’, tapi sememangnya di situ stesyen bertemu rakan atau menunggu seseorang. Jika ingin mencari kawan lama (perantau), tunggulah di situ, insyaAllah ada pertemuan.
Selangkah dari wakaf itu, terdapat satu gerai (wakaf) jual daging lembu, segar dari sembelihan paginya. Satu ‘risiko perniagaan’ yang begitu tinggi tapi ditangani oleh si peniaga hampir setiap hari. Hebat sungguh orang Kelantan, berani menghadapi risiko yang calang-calang  orang boleh hadapi. Jika anda dirantauan jangan harap melihat fenomena perniagaan ini. Sipenjual pula bukan calang-calang orang, Tok Imam Masjid Selising sendiri bersama 2-3 orang penjual daging tegar sejak puluhan tahun dulu lagi.
Depan gerai daging, seberang jalan kelihatan anak muda sedang berlatih kemahiran bolasepak. Semangat bola sememangnya hebat di kalangan orang Selising. Sejarah bola sangat hebat , Bukit Abal, Kedai Selising, Alor HIjau, Banggol, Berangan merupakan kuasa bolasepak di Selising. Bolasepak berjaya menyatukan orang Selising walau suatu masa menjadi punca pergaduhan antara kampung. Padang bola Selising sememangnya amat nostalgic samada dia adalah pemain atau dia adalah penonton. Kemeriahan suatu masa dulu amat dikenang dan setiap kali ada kemeriahan yang sama masakini, maka terimbaulah kita kepada mereka yang telah pergi selamanya.

Kembali melintas jalan, masuk ke Pasar Selising, dipintu depan menunggu kita penjual nasi berlauk yang masih setia menawarkan khidmatnya walau telah menjangkau 30 tahun dia berniaga!. Kirinya ada gerai sederhana, Pak Mat roti canai dengan MakSu, manakala kanan ada gerai roti canai Norihan dan gerai nasi berlauk Man, budak muda lagi. Gerai Man inilah kedapatan Gulai Serati yang dalam kategori 10 terbaik. Masuk pulak dalam ada lagi geran air, istimewanya Sulaiman (Kudung), siapa boleh lupakan tehnya! Perantau pasti sentiasa merindui resepinya. Ada juga geran jual nasi, kuih muih, sayur mayor,pastinya ada ikan-ikan segar. Pendek kata se awal pagi, tiada siapa akan kelaparan, sedia saja duit. Kalau dikira kedai kopi di sekitar pasar Selising rasanya banyak perlu diulas.
Selising, wahai orang Selising, di mana pun kamu janganlah jemu berinteraksi. Perantau, baliklah jenguk Selising yang merindui anda, baliklah walau mungkin keluarga anda telah tiada tapi semua warga Selising adalah saudara anda. Kita adalah keluarga yang besar.
Sekian, jumpa lagi di lain catatan.

Tiada ulasan: